top of page

Perutusan Pengerusi Jawatankuasa Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang

Salam sejahtera,

​

Umum mengetahui bahawa wabak Covid-19 telah menimbulkan kerisauan dan ketegangan baru di seluruh dunia, dan ia juga memberi kesan kepada industri seni visual di negara kita. Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang turut terasa kesannya lantaran terpaksa membatalkan beberapa pameran dan program yang telah dirancang.

​

Pelbagai inisiatif telah diambil oleh pihak kerajaan dan pihak persatuan seni untuk membantu industri ini terus kekal teguh. Sehubungan itu, BSLNPP telah mengambil keputusan untuk memastikan Pertandingan Seni Lukis Negeri Pulau Pinang tetap diteruskan bagi memeriahkan lagi seni visual di Pulau Pinang dan negara kita.

​

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah dan penghargaan kepada Jawatankuasa BSLNPP atas kejayaan penganjuran Pertandingan Seni Lukis Terbuka Pulau Pinang Tahun 2020 yang bertemakan ‘Nyawa’ atau ‘Life’. Peranan yang dimainkan oleh BSLNPP adalah amat penting dalam usaha untuk mengangkat bidang seni visual ke tahap yang lebih tinggi di samping memberikan pendidikan seni secara tidak formal kepada masyarakat. Selain daripada mewarnai industri seni visual tempatan dengan mengadakan pameran dan program kesenian sepanjang tahun, penganjuran pertandingan ini juga bertujuan membuka ruang kepada semua pengkarya seni untuk berusaha menghasilkan karya-karya terbaik dan bermutu bagi melayakkan karya mereka dipilih oleh para juri tatkala penularan pandemik Covid 19 di negara kita. Nyata, pandemik tidak menjadi penghalang bagi pengkarya untuk melakukan yang terbaik dalam proses penghasilan karya mereka. Sehubungan itu, tema pertandingan tahun ini juga adalah amat berpatutan memandangkan insan sejagat sedang bersama mengharungi wabak Covid-19 yang menular tak terhenti-henti.

​

Saya juga dengan rasa berbesar hati ingin mengucapkan syabas kepada semua peserta pertandingan di atas usaha dan dedikasi mereka menyahut cabaran menyertai pertandingan ini mengikut tema yang telah ditetapkan. Sudah menjadi adat pertandingan ada yang kalah dan ada yang menang. Tahniah saya ucapkan kepada peserta yang menang dan terpilih untuk dipamerkan. Bagi peserta yang tidak berjaya teruskan usaha, jangan berputus asa dan saya ucapkan selamat maju jaya. Saya percaya anda akan beroleh kejayaan suatu hari nanti.

​

Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para juri di atas kesudian mereka melapangkan masa untuk memenuhi undangan BSLNPP bagi mengadili pertandingan ini dengan penuh komitmen. Tanggungjawab yang diamanahkan untuk memilih pemenang dan karya-karya pameran telah dilaksanakan dengan sempurnanya. Tidak lupa juga Pengarah dan semua kakitangan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang yang bekerja keras demi memastikan pertandingan ini berjalan lancar, usaha mereka semua amat dihargai.

​

Akhir kata dari saya, semoga negara kita sentiasa tidak ketandusan bakat-bakat seni. Harapan saya agar dunia seni visual akan terus berkembang pesat seiring dengan pembangunan negara dan ekonomi sejagat dan Pertandingan Seni Lukis Terbuka Pulau Pinang akan terus menjadi platform yang berprestij untuk menonjolkan bakat-bakat para pelukis yang bakal mencorak industri kreatif ini di mata dunia.

​

Sekian, terima kasih.

​

Encik Lee Khai

Pengerusi Jawatankuasa Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang

© 2021 by Penang State Museum & Art Gallery 

email-footer.png
bottom of page