top of page

Kata Aluan Kurator Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

 

Pertandingan Seni Lukis Terbuka Pulau Pinang 2020 kembali mewarnai persada dunia seni visual tempatan dengan membawakan tema yang cukup istimewa iaitu ‘Nyawa’ atau ‘Life’. Tema ini telah mendapat undian yang tertinggi daripada kalangan Ahli Jawatankuasa Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang untuk dipertandingkan. Tema yang boleh diinterpretasikan secara meluas ini memberikan kebebasan sepenuhnya kepada para peserta untuk berkarya, mentakrif serta menterjemahkan maknanya mengikut rasa, kefahaman, kreativiti dan kebijaksanaan masing- masing. Gabungan pelbagai interaksi ini serta pencerapan terhadap alam dan dunia sekeliling telah menjadikan pertandingan ini semakin sengit Jika disorot kembali pada tahun lalu yang mengangkat tema BESAR atau ‘BIG’, jumlah penyertaan yang diterima hanyalah sebanyak 135 buah karya daripada 93 orang artist. Tetapi pada tahun 2020, jumlah karya yang diterima adalah sebanyak 190 buah daripada 153 orang artist. Pecahan karya yang diterima mengikut kategori adalah seperti berikut:

          Media                                                                          Jumlah

  Kategori 2D                                                                           142

Kategori 3D                                                                            28

 

Kategori Fotografi                                                                    16

Kategori Media Baru                                                                  4

Jumlah                                                                                   190

Setelah usai sesi penjurian, jumlah karya yang terpilih untuk dipamerkan termasuk para pemenang adalah sebanyak 43 buah daripada 37 artist. Pada kali ini, barisan para juri telah bersetuju sebulat suara untuk menobatkan sebuah karya bagi memenangi Hadiah Keseluruhan. Pemenang Hadiah Keseluruhan ini akan menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM15,000.00, Sijil Penyertaan, berpeluang untuk mengadakan pameran solo di BSLNPP serta karya tersebut akan menjadi Koleksi Tetap BSLNPP. Bagi pemenang kategori 2D, barisan para juri telah bersepakat untuk memilih sebanyak dua (2) buah karya bagi memenangi kategori ini, masing- masing seorang pemenang bagi kategori 3D dan kategori Fotografi. Walau bagaimanapun tiada pemenang yang berjaya menakluk kategori Media Baru. Pemenang Hadiah Kategori bakal meraih wang tunai sebanyak RM3,000.00, Sijil Penyertaan serta karya tersebut juga bakal direkodkan sebagai Koleksi Tetap BSLNPP. Selebihnya 38 buah karya telah memenangi Hadiah Saguhati dan secara automatik terpilih bagi dipamerkan dan berhak untuk menerima Sijil Penyertaan.

Pihak Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan ucapan penghargaan dan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada Prof. Adjung Fauzan Omar (Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI) yang bertindak selaku Ketua Juri serta barisan juri yang terdiri daripada Prof. Madya Hasnul Jamal Bin Saidon (Pensyarah Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia/ Pelukis), LAr Teng Pe Yang (Ahli Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang/ Arkitek Landskap), Encik Yap Wing Chun (Ahli Jawatankuasa BSLNPP) serta Encik Faizal Sidik (Kurator Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara/ Pelukis) di atas kesudian menerima jemputan bagi mengadili pertandingan ini. Di atas sikap professional, berkat kesabaran, saling bertukar pandangan dan menghormati pendapat serta lontaran kritikan yang membina telah menjadikan sesi penjurian pada kali ini berjalan lancar dan jayanya.

 

Buat para peserta yang tidak berjaya, teruskan berusaha dan jangan mudah untuk berputus asa. Jadikan setiap kritikan yang diberikan dalam Ulasan Ketua Juri sebagai panduan dalam berkarya. Dengan semangat baharu, ketepikan rasa malu dan kikis rasa segan. Teruskan melangkah ke hadapan dalam menghasilkan karya- karya yang hebat dan yang tinggi daya kreatifnya. Langsung berkarya tanpa titik nokhtah

 

Akhir kata, saya ingin merakam ucapan ribuan terima kasih kepada Puan Haryany Binti Mohamad, Pengarah Lembaga Muzium dan Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang di atas tunjuk ajar dan nasihat, rakan- rakan seperjuangan serta kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan penganjuran Pertandingan Seni Lukis Terbuka Pulau Pinang 2020. Semoga kita semua akan bersua lagi dalam edisi pertandingan yang akan datang.

 

Sekian.

 

Fairudz Ikhwan Zulkifli

Kurator Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang

© 2021 by Penang State Museum & Art Gallery 

email-footer.png
bottom of page